Hentikan Politik Perkauman Sempit, Sentuh Isu 3R Yang Dimainkan Oleh PN – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam percaya tempoh masa empat tahun mencukupi untuk memberi bukti kepada rakyat bahawa kedudukan Islam tidak akan terancam di bawah Kerajaan Perpaduan seperti dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) pernah mengubah Gerakan sebagai sebuah parti yang boleh diterima rakyat selama 60 tahun meskipun mereka lebih ekstrem sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969.

“Saya percaya rakyat Malaysia belum nampak bahawa ‘pasangan’ baharu kita ini boleh dididik agar lebih rasional dan terbuka. Kita pernah buat bersama Gerakan yang lebih ekstrem sebelum ini.

“Kalau kita boleh ubah Gerakan sebagai sebuah parti yang dterima rakyat, bekerja bersungguh-sungguh bawa semua calon turun ke pusat daerah mengundi (PDM) dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kita boleh mengubah persepsi rakyat,” katanya ketika sesi siaran langsung bertajuk ‘Analisa PRN 2023: Di Mana Silapnya’ di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, segala modal 3R (bangsa, agama, raja) yang dimainkan oleh PN adalah berdasarkan kepada trek rekod Dap bersama Pas dan PPBM.

“Selama ini mereka boleh memainkan isu 3R kerana berjaya menunjukkan trek rekod. Tetapi, trek rekod yang ditunjukkan itu ialah ketika Pas bersama Dap. Macam di Perak, Pas terpaksa beri tanah kepada Dap selama 99 tahun untuk masyarakat Cina.

“Sama juga ketika Dap bersama PPBM. Terlalu banyak perkara yang dilakukan sehingga menyinggung orang Melayu Islam seperti ratifikasi ICERD dan sebagainya. Tidak dinafikan bahawa perkara-perkara ini dijadikan modal untuk rakyat celik akan bahaya Dap.

“Tetapi, ramai tidak sedar bahawa sekiranya Dap bersama UMNO/Barisan Nasional, akan menjadikan mereka lebih berhati-hati. Masing-masing 19 buah parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan mentadbir negara dengan tatakelola baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa segala persepsi dan sentimen yang dimainkan mengenai isu 3R akan dapat dihentikan dengan segala bukti perkhidmatan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

“Empat tahun ini masa yang cukup untuk hentikan politik perkauman sempit yang memainkan isu 3R. Kita boleh kembalikan kestabilan negara dengan memasukkan pelabur asing, memperkukuhkan kedudukan kewangan, menstabilkan harga barangan import dan sebagainya.

“Saya yakin kalau kita konsisten, mereka akan nampak bahawa adalah fitnah kedudukan Islam terancam. Lagi empat tahun kita akan berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, saya yakin Kerajaan Perpaduan akan dapat dua pertiga. Ini bacaan politik saya,” katanya lagi.

Turut dijemput sebagai panelis pada program bual bicara ini ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pensyarah Kanan Antarabangsa UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.