SAPP Tiada ‘Moral Standing’ Untuk Nasihat Parti Lain Tidak Tanding PRN Sabah Akan Datang – Jeffrey

KOTA KINABALU, 15 Ogos – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee tidak mempunyai ‘moral standing’ untuk menasihatkan mana-mana pihak agar tidak bertanding mahupun melibatkan diri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata ini kerana Yong selaku ketua SAPP sendiri tidak mempunyai pendirian yang jelas.

“Beliau (Yong) menyatakan bahawa GRS menyokong Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa yang sama SAPP juga jelas merupakan sebahagian daripada parti Perikatan Nasional (PN).

“Apakah beliau lupa bahawa beliau sendiri hadir ke mesyuarat PRN enam negeri anjuran Perikatan Nasional pada 17 Julai 2023 dan menjadi timbalan Pengerusi (PN)?

“Sebelum menasihatkan mana-mana parti, cerminkan diri sendiri dulu dan nyatakan adakah beliau sokong Kerajaan Perpaduan atau PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffrey yang juga Ketua UMNO bahagian Putatan berkata kenyataan Yong juga seperti lupa diri pembentukan awal Kerajaan Negeri Sabah adalah antara Bersatu dan Barisan Nasional (BN) Sabah, dan dengan itu beliau mendapat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik walaupun parti beliau tidak memenangi sebarang kerusi.

“Saya juga berharap agar Presiden PGRS Datuk Seri Hajiji Noor memberikan ruang secukupnya kepada parti SAPP bertanding seberapa banyak kerusi pada PRN akan datang khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina atau kawasan bandar. Kita ingin melihat kekuatan serta pengaruh sebenarnya SAPP dalam persada politik Sabah,” tambah Jeffery.

Beliau berkata kenyataan Yong itu dibuat susulan keputusan PRN enam negeri di Semenanjung.

“Namun perlu diingat politik ini sangat dinamik dan tidak boleh keputusan di PRN enam negeri itu dianggap sebagai merit kepada pencapaian Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Jika ini kenyataannya saya cabar untuk beliau buat kenyataan untuk tidak menyokong Kerajaan Perpaduan sekarang dan meminta GRS juga menyatakan sokongan yang sebenar-benar mengenai pendirian mereka terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambah Jeffery jika kenyataan media Yong itu ditujukan kepada UMNO untuk mengadakan perbincangan dengan parti bukan tempatan untuk menjadi rakan dalam PRN akan datang UMNO Sabah sudah menyatakan pendirian tidak akan ada rundingan atau kerjasama dengan GRS untuk berhadapan dengan PRN akan datang.

Jeffrey berkata sudah tiba masa Yong menyatakan pendirian sebenar SAPP kepada rakyat Sabah sama ada mereka bersama Kerajaan Perpaduan atau PN.

“Jangan jadi talam dua muka. Kamu tidak boleh jadi penyokong kerajaan perpaduan tetapi pada masa sama memegang jawatan timbalan pengerusi Perikatan Nasional.

“Oleh itu, saya cabar beliau untuk menyatakan pendiriannya kerana itu bagi saya adalah perkara yang lebih mustahak bagi membolehkan rakyat menilai,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.