Pasca-PRN: Kekalahan Dan Kelemahan Perlu Diambil Tanggungjawab Bersama – Mohd Rafi

LABUAN, 15 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengajak kepimpinan di semua peringkat dan ahli-ahli UMNO untuk terus sepakat, dengan mengakui kesilapan, terima kekalahan bersama, buat ‘post mortem’ dan sama-sama mencari semula keyakinan rakyat kepada UMNO selepas keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian berikutan pasca-PRN yang masih lagi menjadi polemik dengan masing-masing mengeluarkan pelbagai pendapat sehinggakan ada yang menuding jadi menyalahkan individu tertentu.

“Justeru saya terpanggil untuk mengutarakan pandangan sebagaimana penglibatan saya selaku jentera yang turun padang bersama-sama membantu gerak kerja lapangan dalam PRN ini.

“Jentera Penerangan sama ada peringkat Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) perlu turun ke akar umbi untuk menerangkan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan. Ini yang saya lihat gagal untuk diatasi oleh parti masing-masing pada PRN kali ini lebih-lebih lagi kepada orang Melayu dan ahli UMNO sendiri,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelas Mohd Rafi, PRN ini julung kali BN dan PH bekerjasama dan beliau menyaksikan gerak kerja parti BN dan PH bergerak secara solo di kebanyakan kawasan.

“Ini juga perlu kita akui antara punca kekurangan undi pada calon-calon Kerajaan Perpaduan dan lebih sedih yang kalah di bawah satu ribu majoriti. Maka jalinan kerjasama dan kesepakatan ini perlu diperkemas agar sentiasa seiring dan selari dalam semua peringkat khususnya di kalangan jentera akar umbi.

“Saya mengambil contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua iaitu kawasan yang saya terlibat secara langsung selaku jentera apabila kemenangan calon BN Datuk Johan Abdul Aziz adalah hasil kejayaan jentera BN-PH yang bergabung sebelum penamaan calon sehingga hari pembuangan undi.

“Semua pihak kerja kuat dan ikhlas memenangkan calon Kerajaan Perpaduan. Alhamdulillah akhirnya bukan saja mengekalkan DUN tersebut tetapi juga menang dengan majoriti yang lebih besar pada PRN kali ini.”

Sehubungan itu beliau juga turut memberi pandangan berkaitan desakan yang menggesa seseorang individu perlu bertanggungjawab atas segala yang berlaku.

“Ia sewajarnya tidak berlaku. Ini kerana kita tidak perlu terikut-ikut dengan alunan lagu pihak luar yang sememangnya dari dulu ingin menjatuhkan organisasi kepimpinan UMNO.

“Kita belajarlah dari sejarah bagaimana Presiden UMNO acapkali digesa berundur apabila sokongan merosot. Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah, Datuk Seri Najib dan kini Datuk Seri Zahid.

“Cukup-cukuplah menyalahkan pucuk pimpinan sedangkan sewajarnya kita bersama sepakat perbetul yang silap, perbaiki yang salah dan perkukuh semula dari dalam UMNO hinggalah kepada kembalikan keyakinan rakyat kepada BN.”

Tegasnya, lihat juga bagaimana pihak lawan yang tidak pernah bertukar ganti kepimpinan tertinggi atau berlaku desakan letak jawatan biarpun mereka tewas teruk.

“Misalnya Tan Sri Muhyiddin, tiada desakan dari partinya walaupun Parti Bersatu kalah teruk di PRN Melaka dan PRN Johor.

“Begitu juga dengan kepimpinan Pas yang sejak puluhan tahun tidak pernah mendapat tampuk kuasa namun tetap sepakat hinggakan mendapat kejayaan dalam siri pilihan raya kebelakangan ini.” – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit