UMNO Tidak Perlu ‘Pemutihan’ Ahli… Yakinkan Mereka Dengan Hala Tuju, Perjuangan Parti – Isham

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpandangan bahawa UMNO tidak perlu melakukan ‘pemutihan’ terhadap ahli parti yang disyaki menyokong parti lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurut beliau, sebaliknya parti perlu meyakinkan ahli berkenaan hala tuju dan perjuangan UMNO yang tidak pernah luntur.

“Pada saya tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli UMNO, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain. Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi.

“Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu. Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Punca dan sebab ini perlu ditangani segera.

“Daripada ‘memutihkan’ atau membuang mereka, sebaliknya kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan hala tuju dan perjuangan kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata sebaliknya ahli UMNO mahu melihat perubahan yang drastik dan bukan sekadar retorik.

“Jika dahulu penyokong-penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini mereka sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan. Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik atau ‘spin’ politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai.

“Mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik. Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah. Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudah pun rebah,” katanya lagi.

Kata Isham lagi, pihak lawan akan bertepuk tangan sekiranya UMNO enggan berubah sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) .

“Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan sendiri.

“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” ujar beliau. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.