Tiada Sebarang Perbincangan Berhubung Jawatan Kerajaan Negeri – Reezal Merican

KEPALA BATAS, 14 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak berhubung penyertaannya dalam pembentukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti dan Kerajaan Perpaduan untuk memutuskan perkara berkenaan.

“Belum lagi (berbincang), dengan mana-mana kepimpinan negeri. Saya ada bercakap dengan beberapa pemimpin parti tetapi itu sahaja, kami tidak berbincang secara mendalam,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra dengan masyarakat setempat di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang semalam, Reezal Merican menang dengan majoriti 2,321 undi apabila memperoleh 10,453 undi menewaskan bekas penyandang kerusi Khaliq Mehtab Mohd Ishaq daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 8,132 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Di Pulau Pinang, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas memenangi majoriti dua pertiga iaitu 29 kerusi daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi, PKR (tujuh), Amanah (satu) dan BN (dua), manakala Pakatan Nasional (PN) memperoleh 11 kerusi.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menyifatkan kemenangan di DUN Bertam itu sebagai menebus kegagalan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.