Pasca-PRN: Jangan Tuding Jari, Ambil Tanggungjawab Atas Kekalahan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti untuk tidak menuding jari dan mengambil tanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Jelasnya, mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Ahmad Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.

“Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) angkuh bila suruh Zahid letak jawatan. Apabila Perikatan Nasional (PN) kalah teruk di Melaka dan Johor beliau tidak letak jawatan. Beliau kekal Presiden PPBM sedangkan kluster mahkamah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad beranggapan bahawa UMNO perlu mendapatkan semula sokongan rakyat dan segala usaha ini perlu didukung oleh para menteri dari parti.

“UMNO perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Beliau tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan.

Untuk rekod, BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan di keenam-enam negeri. BN juga gagal untuk bertapak di Terengganu yang ditakluki sepenuhnya oleh Pas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.