Pasca-PRN: Cukup-Cukuplah Berpolitik, Utamakan Agenda Bela Rakyat – Mohd Sharkar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyeru ahli-ahli politik untuk berhenti bermain politik dan mengutamakan agenda bagi membela kebajikan rakyat.

Ini kerana katanya, sekarang adalah masa untuk bekerja dan menumpukan kepada masalah rakyat selain daripada retorika semata.

“Pertamanya, kita nak ucapkan tahniah kepada parti-parti yang menang di enam negeri sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Sekarang ini adalah waktu untuk bekerja, menumpukan kepada masalah rakyat. Kita yakin dan percaya bahawa rakyat pun sudah agak bosan berpolitik dan mereka mahukan hasil daripada apa yang mereka pilih,” katanya.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) yang mampu mengekalkan negeri sedia ada pada PRN ini.

“Kita ucap tahniah kepada tiga negeri yang dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan dan tiga negeri lagi oleh Perikatan Nasional (PN).

“Apabila kedudukan 3-3 ini, tidak ada siapa boleh ‘claim’ mereka kuat ataupun lemah. Maknanya, Kerajaan Perpaduan mampu mempertahankan kubu yang ada dan PN pun berupaya mengekalkan pemerintahan mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa rakyat akan menilai segala pencapaian para pemimpin di negeri masing-masing dalam tempoh lima tahun ini.

“Sekarang ini kita tunggu, kita harap di pilihan raya akan datang rakyat boleh menilai pencapaian yang akan mereka buat selama lima tahun. Saya rasa, cukup-cukuplah kita berpolitik.

“Berhenti bercakap soal yang remeh-temeh dan utamakan agenda untuk memberi pembelaan kepada rakyat,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit