Kini Masa Bekerja, Bukan Berpolitik Dan Berpolemik… Buktikan Khidmat Bakti – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa kini adalah masa untuk bekerja bukan lagi berpolitik dan berpolemik.

Ujarnya, buktikan prestasi khidmat bakti dan kerja masing-masing di negeri-negeri dan kawasan-kawasan yang dimenangi.

“Tempoh empat hingga lima tahun lagi, berperanglah lagi dalam medan pilihan raya. Tidak perlulah lagi cetus pelbagai spekulasi mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

“Akta Anti Lompat Parti yang dilulus dan diwartakan hanya bermatlamat agar fenomena lompat-melompat sehingga menyebabkan kerajaan silih berganti sebanyak tiga kali dalam tempoh sepenggal tidak berulang kesekian kali.

“Rakyat dan negara sudah cukup tersiksa apabila politik tidak stabil hingga menjejaskan ekonomi. Sekarang masa untuk bekerja dan melaksana segala apa yang dijanji,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, meskipun Perikatan Nasional (PN) PN tidak memenangi tiga negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, namun gabungan tersebut telah memperoleh banyak kerusi pada PRN ini.

Justeru katanya, usaha menukar kerajaan Persekutuan boleh berlaku walaupun PN hanya memenangi pilihan raya negeri (PRN) di tiga negeri.

Pada 9 Ogos lepas, Abdul Hadi menyatakan kemenangan PN di enam PRN pada 12 Ogos memungkinkan berlakunya perubahan kepada kerajaan pusat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.