Dakwa Ahli Parlimen Sokong PN… Pemimpin Pas Pandai Cakap Tapi Rendah Ilmu – Wan Rosdy

PORT DICKSON, 9 Ogos – “Itu saya kata pimpinan Pas punya ‘knowledge’ (pengetahuan) berbanding dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) jauh lebih rendah.”

Demikian bidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa akan ada beberapa Ahli Parlimen bakal menyokong Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, tidak janggal kenyataan tersebut dikeluarkan kerana sejak dahulu lagi mereka tiada idea dalam mendapatkan sokongan rakyat.

Katanya, ini berbeza dengan BN yang sentiasa menawarkan pelbagai inisiatif kepada rakyat termasuk agenda pembangunan negara.

“Sebab itu tahun 80-an sampai sekarang modal dia undi Pas masuk syurga, hari ini pun masih guna benda yang sama.

“Sedangkan sekarang ini kita tengok BN janji di Kelantan, kalau menang RM2,000 untuk yang kahwin kali pertama, cukai tanah dan pintu dikurangkan, nak tubuh universiti hafazan sedangkan itu kita punya visi.

“Saya tengok mereka ini tiada (visi), dengan masalah air lebih 33 tahun pun tak diselesaikan. Tidak nampak usaha ke arah itu, yang dia nampak bersama ke syurga. Kalau itu mentaliti mereka ke mana hendak bawa Islam?” bidas Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada program santai nelayan di Kampung Teluk, bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Tambah beliau lagi, dengan adanya Akta Anti Lompat parti semestinya pertukaran kerajaan seperti yang dikatakan Abdul Hadi tidak semudah seperti yang disangka.

“Ahli Parlimen lompat ke parti lain bukan suatu perkara yang mudah, sebab kita ada Akta Lompat Parti.

“Pertama sekali mesti kosongkan kerusi tersebut, kemudian kalau hendak jadi Ahli Parlimen kena bertanding dengan parti baharu, dahulu ya boleh pergi begitu sahaja sekarang tidak boleh.

“…dan Ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ada perjanjian yang tidak membolehkan keluar parti,” ujar beliau.

Terdahulu media melaporkan Abdul Hadi berkata enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas beliau dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang akan menyokong PN jika gabungan itu memenangi PRN di enam negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.