Pusat Penamaan Calon PRN Enam Negeri, PRK Kuala Terengganu Dibuka Tepat 9.00 Pagi Ini

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Sejumlah 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, mula dibuka serentak tepat 9 pagi ini bagi proses penamaan calon.

Turut berlangsung serentak ialah pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Tempoh proses penamaan calon adalah selama satu jam bermula 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN dan PRK berkenaan dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal berlangsung 8 Ogos.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini sehingga 11.59 malam 11 Ogos.

PRN di enam negeri itu melibatkan 245 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 36 kerusi DUN di Kedah, 45 (Kelantan), 32 (Terengganu), 40 (Pulau Pinang), 56 (Selangor) dan 36 kerusi di Negeri Sembilan.

Proses pemilihan wakil rakyat di negeri-negeri itu melibatkan kira-kira 9.7 juta pengundi berdaftar dengan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang akan digunakan adalah sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun.

Bagi PRK Kuala Terengganu, terdapat sebanyak 123,575 pemilih berdaftar.

Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor pada 23 Jun, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan.

Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov 2022.

PRK Parlimen Kuala Terengganu pula ditetapkan apabila kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.