Lebih Ramai Wanita Disaran Sertai Pertubuhan Belia – MB Perak

IPOH, 22 Julai – Majlis Belia Negeri Perak menyasarkan 30 peratus keahliannya terdiri daripada golongan wanita, justeru lebih ramai belia wanita disaran menyertai pertubuhan belia di bawah majlis berkenaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata penyertaan lebih ramai belia wanita dapat membantu merealisasikan kepentingan kaum hawa dalam kelompok pembuat keputusan.

“Sebagai langkah pertama, semua pertubuhan belia perlu bergerak ke arah sekurang-kurangnya 30 peratus keahlian wanita di semua peringkat kepimpinan dalam organisasi masing-masing. Ini masa kita,” katanya dalam ucapan Perasmian Karnival Sambutan Hari Belia dan Anugerah Belia Perdana Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan negeri dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah.

Saarani berkata penyertaan dalam sesuatu pertubuhan membantu seseorang belia itu tampil lebih berkeyakinan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan paling penting menyumbang kembali kepada masyarakat.

Katanya, sudah tiba masanya pertubuhan belia digerakkan oleh generasi berumur 30 tahun dan ke bawah supaya seiring dengan matlamat dan aspirasi anak muda masa kini.

“Saya percaya Majlis Belia Negeri Perak sebagai badan induk pertubuhan belia di negeri ini telah bersedia dengan transisi kepimpinan dan keahlian pertubuhan belia, malah saya juga ingin mencabar pertubuhan-pertubuhan belia kita untuk memastikan komposisi kepimpinan yang lebih inklusif, merangkumi semua kelompok belia,” katanya.

Khairudin turut menyampaikan beberapa anugerah belia negeri Perak bagi tahun 2023 pada majlis tersebut.

Muhammad Sharifuddin Mohamad Ishak dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Belia (Ikon Karisma), Diffan Sina Jasmi (Ikon Wirausaha), Muhammad Shahril Mustafa (Ikon Wirausahawan) dan Khuswindera Singh untuk Ikon Daya Maju.

Turut menerima anugerah ialah Muhammad Kamal Syukri Kamaruddin bagi Ikon Relawan Muda, Mohd Afifi Mohd Arif (Ikon Penggiat Sukan) manakala Susieleen Suki untuk Ikon Permata Budi.

Penerima masing-masing membawa pulang piala iringan, sijil serta wang tunai RM2,000. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit