Calon PRN Diketengah Bukti BN Menuju Rejuvinasi – Gulam

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan UMNO, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diketengahkan adalah bukti kepada rejuvinasi parti.

Jelas beliau ini kerana calon-calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) itu adalah dalam kalangan muka baharu dan pemimpin muda.

“Telah selesai teka-teki jumlah kerusi dan calon-calon yang akan bertanding di enam PRN yang melibatkan 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk BN (UMNO) dengan menaruhkan lebih 60 peratus muka baru dan 80 peratus dalam kalangan orang-orang muda.

“Ini dinamakan rejuvenasi parti. Kawan-kawan yang tidak berjaya untuk menjadi calon, kena berlapang dada dan masa untuk membuktikan kesetiaan kepada parti.

“Buat calon-calon PRN yang telah dipilih diucapkan selamat maju jaya dan nasihat ikhlas jangan bersifat silo dalam PRN kali ini dan buat ahli-ahli UMNO jangan merosakkan peluang sedang pucuk pimpinan kita sedang bina untuk perang PRU16 (Pilihan Raya Umum 16) kelak. Jangan sesekali bersekongkol dengan musuh politik yang nyata demi kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu berkata calon UMNO/BN daripada pelbagai latar belakang adalah taruhan dalam usaha menjadikan parti berpeluang menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya mendapat majoriti kerusi DUN bersama parti gabungan Pakatan Harapan (PH) di setiap negeri.

“Bagi orang UMNO, Kita kena lihat peranan ‘khemah besar’ dalam hala tuju baru politik di dalam negara kita. Konsep ini melibatkan kemajmukan dan kepelbagaian ragam, rencah perbezaan politik tetapi bersatu dalam perkara dasar, asas dan nilai perjuangan buat kita semua iaitu ayat magis perpaduan,” ujar beliau.

Sementara itu beliau berkata parti kini ke arah menyusun dan mewujudkan semula gabungan politik ala BN yang dibentuk pada tahun 1973 selepas peristiwa berdarah 13 Mei.

“Semua tahu ketika itu semua Parti Perikatan (MCA, MIC) termasuk parti pembangkang PAS, PPP dan Gerakan turut menyertainya yang melibatkan 14 parti berlainan termasuk Sarawak dan Sabah atas dasar semangat perpaduan nasional. Semua ini berlaku atas ayat magis perpaduan.

“Oleh itu, sudah semestinya modal PRN kita kali ini adalah perpaduan yang akan meyakinkan pengundi khususnya dan rakyat Malaysia yang majmuk amnya bahawasanya dengan perpaduanlah kita boleh stabil dan makmurkan negara seperti mana yang pernah dicapai dan berjaya konsep ‘khemah besar’ parti BN dari tahun 1977 hingga 2018,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.