UMNO Terus Konsisten Pertahan Islam/Melayu Di Bawah Kerajaan Perpaduan – Lokman

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengulangi pendirian bahawa UMNO akan terus konsisten dalam mempertahankan Islam/Melayu di bawah Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, ini kerana masih lagi dalam kalangan rakyat yang bimbang dengan Dap yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan melibatkan Islam/Melayu.

“Selagi UMNO bersama dengan Kerajaan Perpaduan, insya-Allah Dap tidak akan keluarkan kenyataan yang mengguris hati orang Islam/Melayu.

“Kalau ada kita akan bantah, kalau mereka ingkar dengan apa yang telah dijanji bila-bila masa UMNO boleh tarik diri. Lagi pun kita pernah rekod tarik diri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tak kan Anwar hendak biarkan kerajaan ini menjadi goyah.

“Betul kalau UMNO tarik diri kerajaan masih kekal dengan 118 kerusi tetapi kerajaan tidak akan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung di Facebook.

Mengulas lanjut Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan utama bagi memastikan perjanjian persefahaman yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai teras terus dipelihara.

“Saya yakin Anwar mampu melakukannya dan Dap pun mereka belajar melalui pengalaman, jadi kerajaan 22 bulan akibat daripada seorang dua yang terlanjur kata.

“Anwar akan pastikan semua anak-anak buah dia dalam Kerajaan Perpaduan akan menjaga tingkah laku.

“Hormat hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dalam masa yang sama memastikan orang Melayu menghormati orang bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.