Slogan ‘Bersih Dan Stabil’ Tidak Relevan Dengan PN – Azhari

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan slogan ‘bersih dan stabil’ tidak relevan dengan Perikatan Nasional (PN).

Katanya ini ekoran, mahkamah pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan calon Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Slogan bersih dan stabil tidak relevan dengan parti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk tidak tunduk kepada politik wang.

Mengulas lanjut Azhari berkata tindakan Tun Mahathir itu adalah sinis kepada PN kerana parti tersebut melakukan pelbagai strategi politik bagi memenangi PRU15 malah memperoleh kerusi yang banyak namun masih gagal untuk membentuk kerajaan.

“Semenangnya sudah terbukti salah satu parti kalah di mahkamah tentang kes membeli undi di Terenganu, apa yang Tun M maksudkan ini mungkin tentang parti yang terbabit.

“Lagipun di kerusi Parlimen yang Tun tandingi siapa yang menang? Bukan Barisan Nasional (BN) yang menang.

“Jadi kita kena sedia maklum bahawa secara sinis dia mengatakan parti yang menang adalah yang membeli undi bukan sahaja di Langkawi tetapi di seluruh negara yang membuatkan parti tersebut banyak menang tetapi tidak dapat tubuh kerajaan,” ujar beliau.

Menurut Azhari lagi kenyataan Tun Mahathir juga seolah-olah menyokong langkah Kerajaan Perpaduan yang melaksanakan kempen secara bersih dan menolak politik rasuah.

“Jadi saya yakin bahawa apa yang Tun Mahathir katakan ini boleh mempengaruhi rakyat di luar sana bahawa undilah parti yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat iaitu kerajaan hari ini,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.