PRN: Rakyat Kedah Diseru Pilih Pemimpin, Parti Terbaik Tadbir Negeri

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berharap agar rakyat di negeri tersebut memilih pemimpin dan parti yang dapat mengurus tadbir negeri dengan baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk menambat hati rakyat dan meyakinkan mereka bahawa masa depan negara mesti diwajahkan dengan Kerajaan Perpaduan yang berkesan.

“Semua penceramah parti yang akan mewakili parti telah menerima pentauliahan mereka berserta dengan segala penjelasan mengenai isu-isu semasa yang merundung persepsi masyarakat dan rakyat.

“Kita juga telah dibekalkan dengan segala informasi yang tepat mengenai kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita perlu mencuba sedaya-upaya untuk meyakinkan pengundi bahawa masa depan Malaysia ini perlu diwajahkan dengan Kerajaan Perpaduan yang berkesan,” katanya kepada UMNO Online sejurus selepas Majlis Penerimaan Sijil Tauliah Penceramah Penerangan UMNO Malaysia pada Selasa.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar turut mengharapkan agar para pengundi terutamanya di Kedah menilai segala maklumat dan membuat keputusan yang tepat dalam memilih kerajaan negeri tersebut.

“Untuk PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi ini kita mengharapkan pengundi tidak semata-mata cenderung kepada pilihan parti masing-masing.

“Tetapi mesti perlu mengambil masa untuk menilai maklumat yang tepat dan berkesan kerana apa yang ada di depan dan juga keputusan yang bakal dibuat oleh para pengundi ini bakal membawa impak yang cukup penting demi kelangsungan negeri dan juga negara pada masa akan datang.

“Saya mengharapkan agar rakyat mengambil masa membuat fikiran yang betul-betul jelas dalam siapa pilihan mereka untuk menjadi wakil rakyat mereka demi kesejahteraan rakyat, kestabilan negara dan kelangsungan peranan kepentingan semua bangsa dalam negara ini,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan pada 28 Jun lalu, selaras dengan perkenan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi memberi laluan kepada PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

Selain Kedah, lima lagi negeri yang terlibat ialah Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya minggu lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.