Bung Moktar Tegaskan Pemuda UMNO Main Peranan Lebih Efektif Dekati Pengundi Muda

KOTA KINABALU, 21 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO perlu memainkan peranan penting dan lebih efektif dalam usaha mengukuhkan lagi parti di seluruh negara khususnya dalam mendekati golongan pengundi yang berumur 18 tahun agar memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai wadah perjuangan politik mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata dari statistik pada pilihan raya umum yang lepas sokongan pengundi muda kepada UMNO/BN masih kurang memberangsangkan, justeru pendekatan yang lebih berkesan kepada golongan ini perlu dilakukan.

“Pemuda UMNO perlu memahami dan menyelami citarasa golongan pengundi ini ke arah mana minat mereka. Antaranya aktiviti sukan, kesenian, riadah, kebajikan dan tidak kurang penting ialah pendedahan ilmu kemahiran kepada belia yang masih menggangur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya ketika menerima kunjungan hormat dan sesi suai kenal Pergerakan Pemuda UMNO Sabah di bangunan UMNO Karamunsing di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Azhier Farhan; Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Alfian Sambas; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim serta ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh bahagian di Sabah.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah bagi membantu golongan muda meningkatkan ekonomi mereka, Pergerakan Pemuda UMNO juga wajar memberikan pendedahan ilmu kepada golongan ini.

Katanya ia boleh dilaksana melalui kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk melaksanakan program kemahiran seperti kursus, seminar dan sebagainya agar golongan muda dapat didedahkan peluang-peluang yang disediakan kerajaan.

Semasa menyampaikan amanat tersebut Bung yang juga Pengerusi BN turut menyentuh pentingnya Pergerakan Pemuda menguasai media baharu.

Katanya media baharu seperti Facebook, Instagram, TikTok kini menjadi pilihan anak muda dan juga pilihan parti lawan untuk menyebarluaskan pengaruh di samping dijadikan platfrom untuk menyerang parti dan pemimpin UMNO.

Justeru tegas Bung, UMNO khususnya Pergerakan Pemuda perlu lebih agresif menangkis serangan dan tohmahan bertali arus oleh ‘keyboard warrior’ terhadap parti itu di media sosial.

Menurut Bung perkara itu penting bagi mengelak generasi masa kini mempercayai bulat-bulat gambaran negatif serta maklumat tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya jentera media sosial UMNO perlu melibatkan penggunaan medium media sosial dan perlu diperkasakan lagi dengan menyalurkan fakta jelas bagi memudahkan pemahaman generasi muda.

“Media sosial merupakan sumber rujukan utama belia ketika ini, justeru UMNO perlu mengambil pendekatan serius bersifat menyeluruh dan terancang dalam menyalurkan maklumat berkaitan parti selain menentang segala dakyah terutama daripada pembangkang bagi memastikan parti mendapat sokongan anak muda,” katanya.

Selain itu menurut Bung penggunaan media baharu ini merupakan alternatif terbaik bagi mendekati generasi muda sekali gus mendengar suara hati mereka menerusi kaedah yang lebih mesra, santai dan tidak terlalu protokol. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit