PRN: UMNO Sabah Bantu Kempen Selangor, Bakal Aplikasi Strategi Baharu Untuk Kemenangan

KOTA KINABALU, 20 Julai – UMNO Sabah akan membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dan menjadikan ia sebagai medan ujian strategi baharu untuk digunakan pada PRN Sabah nanti.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya ingin melihat strategi baharu yang lebih kepada penggunaan media sosial itu berkesan atau tidak iaitu memberi impak yang tinggi kepada gerak kerja kempen di PRN Selangor itu.

“Jika berkesan kami akan membawa strategi baharu ini pada PRN Sabah akan datang selain menggunakan kempen secara konvensional iaitu bersemuka.

“Hari ini kita lihat cara kempen terutama di kawasan bandar tertumpu kepada media baharu iaitu media sosial. Kalau dulu kena bersemuka tapi hari ini saya nampak yang perlu diberi penekanan adalah media sosial,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata inilah antara faktor-faktor lain menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas apabila calon-calon dan parti yang memanfaatkan aliran media baharu mendapat sokongan kalangan pengundi kalangan anak-anak muda.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Sabah menghantar 300 ahli dari UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi membantu gerak kerja kempen PRN calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor selain menghantar beberapa pemimpin tertinggi berkempen di PRN negeri lain di Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Katanya di Selangor sudah tentu tumpuan diberikan terhadap orang Sabah yang bekerja dan menjadi pengundi di sana yang dianggarkan lebih 10,000 orang.

“Jadi kita akan fokus dengan pengundi Sabah yang mengundi di Selangor dan kemudian kita akan bincang dengan jentera tempatan untuk gerak kerja yang lain.”

Menurutnya UMNO Sabah baru-baru ini telah mengadakan gerak kerja mendekati pengundi orang Sabah ini menerusi Santai Kaamatan 2023 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari dan mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri lebin 10,000 anak-anak Sabah yang bekerja di negeri itu. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit