Majoriti Penuntut IPT Berpeluang Mengundi

KUALA BERANG, 20 Julai – Majoriti penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan kebanyakan universiti sudah selesai mengadakan peperiksaan dalam tempoh itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pada tarikh pengundian yang ditetapkan 12 Ogos itu kebanyakan pelajar juga sudah berada di kampung masing-masing.

“Sekarang pelajar sedang menjalani peperiksaan. Pada hari mengundi kebanyakan universiti dah habis peperiksaan, memang tengah cuti, pelajar dah ada di kampung masing-masing.

“Pada masa sama PRN hanya melibatkan enam negeri. Jadi ramai pelajar beri pandangan peperiksaan diteruskan, jadi memang tak ada cuti (khas untuk pulang mengundi),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Hulu Terengganu di sini, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) antara universiti yang terkesan dengan penetapan tarikh pengundian pada tarikh tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kedua-dua universiti itu dilapor berkata UUM memulakan peperiksaan hujung bulan ini hingga pertengahan Ogos, manakala UMP mengadakan pengambilan baharu bagi pengajian peringkat diploma ketika pelaksanaan PRN.

PRN bakal berlangsung serentak di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terengganu juga bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.