Kestabilan Negara Beri Impak Positif, Angkat Agenda Rakyat – Tengku Zafrul

KOTA RAJA, 20 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang betul maka kerajaan dan kestabilan ini perlulah berkembang secara positif bagi mengangkat agenda rakyat.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut berpesan kepada rakyat agar tidak mengambil risiko memilih parti lain selain parti-parti Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir kerana ia mampu mencalarkan kestabilan negara.

“Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan sebuah kerajaan yang terdiri daripada beberapa parti yang telah mengenepikan kepentingan masing-masing dan bersetuju untuk duduk bersama-sama demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Hasilnya dapat kita lihat hari ini, kerajaan berjaya membawa kestabilan dan mampu berdaya saing si peringkat dunia. Sikap ingin cuba-cuba dan ambil risiko dengan memberi peluang kepada parti lain untuk mentadbir inilah yang telah mencalar imej Malaysia dan kestabilan politik.

“Saya ingin menekankan bahawa sekarang kita berada di landasan yang betul. Oleh itu, sama-samalah kita pastikan kerajaan dan kestabilan ini dapat terus berkembang secara positif dan seterusnya dapat mewujudkan sebuah Malaysia Madani dan akan mengangkat agenda rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja baru-baru ini.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan bermula tidak lama lagi dan adalah menjadi tanggungjawab UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus mentadbir Negeri Selangor.

 

“Seperti yang semua sedia maklum PRN Selangor akan bermula tidak lama lagi. Penamaan calon secara rasminya pada 29 Julai ini. 8 Ogos proses mengundi awal dan 12 Ogos kita mengundi. Tarikh-tarikh ini bukan sahaja akan berlaku di Selangor tetapi akan berlaku juga serentak di lima buah negeri yang lain iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

“Dalam tempoh tersebut pastinya semua parti yang bertanding ini akan mula menggerakkan segala tenaga dan usaha bagi memenangkan calon-calon. Perkara ini juga akan berlaku di Parlimen Kota Raja yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Kemuning, Sentosa dan Sungai Kandis.

“Kita sebenarnya belum pasti sama ada kita akan dapat kerusi UMNO atau tidak di sini. Kalau tiada, jangan patah semangat. Menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan Kerajaan Perpaduan hari ini terus mentadbir negeri Selangor,” ujarnya.

Turut hadir ke program ini ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Raja, Suhaila M. Zin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Raja, Nur Jannah Mohamad Zainoor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.