Kerajaan Perak Selesai Isu Penempatan Semula 90 Keluarga Kg Simpang Halt

IPOH, 20 Julai – Kerajaan negeri Perak akan menyelesaikan isu penempatan semula 90 keluarga setinggan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kampung Simpang Halt di Taiping selepas mereka diberikan notis mengosongkan tanah itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya telah mendapat jaminan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Insya-Allah (pendudukan akan menerima rumah seperti dijanjikan) tetapi kita perlu ikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya tidak dapat memberi jaminan bila penduduk akan mendapat rumah tersebut tetapi pada dua hari lepas, pihak berkaitan memberi jaminan kepada saya akan menunaikan janji tersebut,” katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bagi daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik hari ini.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menerusi akaun Facebook miliknya mendakwa isu penyelesaian berkaitan RKT Simpang Halt melibatkan 90 buah keluarga setinggan telah berlarutan sejak puluhan tahun.

Mohammed Sollehin mendakwa tindakan sambil lewa syarikat berkaitan kerajaan yang tanpa rasa bersalah telah menjual tanah tersebut sebelum isu penempatan setinggan itu dapat diselesaikan. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.