33 Tahun Rakyat Kelantan Ditipu Pas – Zawawi

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyifatkan kerajaan negeri Kelantan selama ini bersandiwara dalam mentadbir negeri ini selama 33 tahun.

Katanya, ini kerana sedangkan perkara asas seperti keperluan air tidak diurus dengan baik apatah lagi isu pembangunan.

“33 tahun rakyat ditipu daripada awal dulu diletakkan batu asas sampai sekarang pun tidak ada yang dilaksanakan.

“Kalau kita lihat hari ini air menjadi satu masalah kepada rakyat Kelantan tetapi mereka membawa naratif peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pertarungan Pertahan Maruah yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, turut menjadi panel adalah Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh dalam pada itu turut menempelak bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata walaupun bekas Ahli Parlimen Ketereh itu kini Pengerusi Muafakat Nasional bersama dalam kem Perikatan Nasional (PN) namun tidak pernah mengeluarkan kenyataan membela kerajaan negeri.

Malah kata Zawawi, Annuar sering kali menjadikan isu di peringkat Pusat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sasaran.

“Saya hairan beliau tidak mempertahankan kerajaan negeri Kelantan, kalau dia bersama dengan Pas dan nak menangkan parti itu, tak nak rakyat bagi undi kepada Kerajaan Perpaduan, sepatutunya dia membela kerajaan Kelantan dengan mempertahankan tentang air, batu asas, semak dan imbang, urus tadbir negeri Kelantan.

“… tapi tidak ada satu ceramah pun dia pernah mengeluarkan bahawa kelantan ini adalah sebuah negeri yang lebih baik, tidak ada.

“Malah dia momokkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, apa kena mengena dengan Anwar, Zahid tentang kerajaan negeri yang kita nak pilih lepas ini?” soal beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit