UMNO Sabah Alu-Alukan Peruntukan Interim RM300 Juta Untuk Sabah Dan Sarawak

KOTA KINABALU, 19 Julai – UMNO Sabah menyambut baik keputusan kerajaan pusat meluluskan peruntukan interim di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak RM300 juta yang akan disalurkan secepat mungkin kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kesungguhan bagi memastikan semua rakyat khususnya di Sabah mendapat akses setara baik dari segi dana kerajaan mahupun pertumbuhan infrastruktur serta ekonomi dan sosial di negeri ini.

“Peruntukan RM300 juta ini merupakan langkah awal yang tepat dan dijangka dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah terutamanya untuk menyelesaikan isu-isu pembangunan terutama pembangunan insfrastruktur asas bekalan air bersih, elektrik , jalan raya yang agak kritikal selain pembangunan lain yang jauh ketinggalan berbanding dengan di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah semalam dan diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof berkaitan keputusan kerajaan pusat untuk menyalurkan peruntukan interim RM300 juta kepada Sabah dan Sarawak.

Fadilah yang juga Menteri Perladangan dan Komuditi berkata kerajaan sedang mencari keadah dan memuktamadkan formula bagi mengira jumlah peruntukan yang perlu dibayar kepada Sabah dan Sarawak dalam tempoh setahun.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berharap sekiranya kerajaan negeri diberikan autonomi untuk menyelaraskan peruntukan ini, perkara yang perlu diambil perhatian serius ialah menyelarasnya secara efisien, cepat dan tepat dengan mengurangkan biokrasi kerana ianya akan membantutkan usaha untuk membangunkan Sabah.

“Jika peruntukan ini kerajaan negeri diberikan autonomi, perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah sistem penyampaianya perlu tepat dan cepat agar usaha untuk membangunkan Sabah dalam pelbagai aspek dapat disegerakan,” katanya.

Bung menambah walaupun peruntukan masih belum memenuhi untuk tujuan pembangunan berbanding dengan keperluan dan faktor geografi Sabah yang luas namun ini merupakan langkah permulaan yang positif bagi menyelesaikan isu-isu pembangunan yang dianggap kritikal dan perlu didahulukan.

Dalam perkembangan yang sama Bung juga turut bersetuju dengan cadangan autonomi kepada Sabah dan Sarawak berkaitan pentadbiran kesihatan dan pendidikan yang sebelum ini tidak selaras disebabkan Sabah juga mempunyai Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan.

“Penting ada kuasa autonomi bagi dua jabatan ini memandangkan selama ini apa-apa cadangan dan keputusan kita perlu merujuk kepada kerajaan pusat menyebabkan apa-apa tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan kesihatan dan pendidikan di Sabah mengambil masa yang panjang,” katanya.

Dalam perkembangan lain Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah juga bersetuju untuk menghantar seramai 250 orang delegasi dari UMNO Sabah untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Semenanjung dan tumpuan ialah di Selangor.

“UMNO Sabah akan menghantar jentera untuk berkempen dengan setiap bahagian akan menghantar 10 orang jentera dan akan menjaga 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu UMNO/BN meletakkan calonnya maka akan dijaga oleh dua bahagian dari Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.