PRN: Kerajaan Perpaduan Digesa Ambil Berat Soal ‘Makan Depan Dan Belakang’

LAHAD DATU, 19 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berharap pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan mengambil perhatian ekoran tindakan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat bersama dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Soalnya, Yong Teck Lee dalam kerajaan GRS, bukankah GRS telah memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan?

“Datuk Yong Teck Lee dalam kerajaan GRS, bukankah Datuk Hajiji telah memberi sokongan dalam mesyuarat bersama PH-BN (Kerajaan Perpaduan) untuk memberi sokong penuh?

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, saya amat mengambil berat soal gergaji, makan depan dan belakang. UMNO adalah parti saya, saya tidak mahu parti saya diperbodoh-bodohkan, kononnya menyokong Kerajaan Perpaduan, hakikatnya video ini menjadi saksi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerus hantaran dalam laman Facebooknya yang turut disertakan dengan video pendek bertarikh 17 Julai, berdurasi 59 saat memaparkan kepimpinan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat persiapan terakhir untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri. Ketibaan kepimpinan PN ini disambut oleh Teck Lee yang mesra bersalaman dan berpelukan serta menyertai mesyuarat terbabit.

“Jika nak berpolitik, biarlah secara anak jantan, berlawan berdepan-depan. Kalah dan menang kami tidak hairan, asalkan jangan main tikam belakang. Harap pucuk pimpinan PH dan BN ambil perhatian. Mencegah lebih baik daripada merawat,” kata Sharif Musa lagi.

GRS dipengerusikan oleh Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah pada November lalu telah mengesahkan bahawa blok parti itu menyertai secara rasmi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.