Tolak Pemimpin Cuba Bunuh UMNO, Pengkhianatan Kepada Perjuangan Melayu

GEORGE TOWN, 18 Julai – Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana terdapat cubaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharamkan UMNO menjadi bukti kukuh untuk pengundi Melayu menolak kepimpinan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini kerana kedua-dua pemimpin itu yang pernah mendapat nikmat daripada kedudukan mereka di dalam UMNO disifatkan telah melakukan pengkhianatan terbesar kepada parti berkenaan serta orang Melayu.

”Orang Melayu serta ahli UMNO perlu menerima menerima hakikat cubaan mengharamkan UMNO oleh mana-mana pihak adalah satu pengkhianatan kepada orang Melayu kerana UMNO adalah parti terbesar orang Melayu.

”Oleh sebab itu, rakyat perlu boikot pemimpin sebegini dan perlu tolak wadah perjuangan atau kerjasama pemimpin-pemimpin ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendedahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran serangan lawan kerana Presiden UMNO itu mengetahui perancangan pembangkang untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.

Presiden PKR itu mendakwa, Dr. Mahathir dan Muhyiddin merancang mengharamkan UMNO ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan strategi pembangkang ketika ini hanya menyerang Ahmad Zahid tanpa mengusik UMNO kerana mahu mendapatkan undi ahli parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Menurut Mohd. Yussof, pengkhianatan dengan cubaan untuk mengharamkan UMNO bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini UMNO pernah berdepan krisis yang sama berpunca daripada Dr. Mahathir.

”Kalau mereka (Dr. Mahathir dan Muhyiddin) tidak sokong UMNO tidak mengapa, tetapi jangan sampai hendak membunuh UMNO.

”Mereka juga bertindak menubuhkan parti lain untuk mematikan UMNO yang banyak jasanya kepada mereka, rakyat tidak patut sokong pemimpin begini,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pemimpin UMNO terutama di Pulau Pinang juga berjiwa besar kerana sanggup berunding secara baik dengan pimpinan PH dalam soal agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

”UMNO dikhabarkan akan bertanding di enam kerusi DUN di Pulau Pinang, memang jumlah kerusi DUN yang ditandingi ini kecil berbanding dahulu, namun UMNO berjiwa besar dan mampu berunding dengan gabungan baharu,” katanya. – UTUSAN

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.