PRN: Pemerintahan Negeri Dan Pusat Mesti Selari… Kerajaan Perpaduan Paling Stabil

KOTA RAJA, 18 Julai – Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan paling stabil, hasil kerjasama Barisan Nasional (BN) dah Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada 148 kerusi ketika ditubuhkan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Justeru, beliau berharap agar para pengundi yang bakal membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini mestilah memastikan agar kerajaan negeri dan persekutuan mempunyai pentadbiran selari.

“Mereka (PH) bertanding di atas tiket Harapan. Kita bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN). Gabungan itu sebagaimana dikatakan, kita mesti selari dengan kerajaan pusat.

“Kerajaan Negeri mesti selari dengan kerajaan pusat. Kerajaan pusat ini paling stabil sejak tahun 2004. Pada tahun 2004 kita dapat dua pertiga.

“Pada tahun 2008 masyarakat Cina tidak menyokong, kita hilang dua pertiga. 2013, kita hilang dua pertiga sama juga pada 2018,” katanya ketika menjadi panel semasa Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau optimis agar Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ini terus kekal bagi mendukung pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat.

“Pada tahun 2022 kita kembali kepada betul-betul ‘on the dot’ iaitu 148. Dua pertiga majoriti kerajaan stabil dan mudah-mudahan ianya akan terus mempertingkatkan ekonomi negara serta rakyat.

“Kita nak menang pilihan raya ini di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. Kelantan telah 33 tahun diperintah oleh parti yang sama. Apa kata kita berbeza pada kali ini untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kepada rakyat Kelantan di Lembah Klang ini, apabila balik mengundi nanti sokonglah Kerajaan Perpaduan. Begitu juga dengan Terengganu dan Kedah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar seluruh kepimpinan dan para jentera untuk sentiasa bersedia dalam segala aspek serta tidak memandang rendah kepada pihak lawan.

“Kita ada keyakinan bahawa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kita boleh menang. Insya-Allah UMNO/BN akan jadi sebahagian daripada kerajaan di negeri-negeri ini.

“Untuk menang itu, ada sedikit formula. Kita kena sentiasa bersedia. Jangan pandang lekeh orang yang melawan kita dan bersiap sedia dalam pelbagai sudut.

“Banyakkan aktiviti, berpadu, calon kita adalah yang terbaik dan data-data kita gunakan sebaiknya. Termasuklah emosi pengundi kita kena urus dan jaga baik,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah dijemput untuk menjadi panel pada Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian Kota Raja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.