PRN: Azalina Yakin BN-PH Tawan Selangor, Seru Pemikiran Positif Para Jentera

KOTA RAJA, 18 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said yakin bahawa negeri Selangor akan ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

Jelasnya, menjelang PRN yang bakal tiba, para jentera mestilah mempunyai pemikiran atau ‘mindset’ yang positif bagi memperoleh kemenangan di negeri tersebut.

“Ini kalilah, insya-Allah kerajaan negeri Selangor akan dipimpin bersama oleh BN-PH maka inilah yang perlu menjadi matlamat kita. Maknanya, bukan sahaja niat itu ada, perjalanan juga ada. Inilah peranan kita.

“Kami nak memberi sokongan sepadat-padatnya kepada anggota jentera UMNO/BN di seluruh negeri-negeri yang bertanding sebab kami tahu sahabat-sahabat semua memerlukan semangat.

“Jadi, hari ini UMNO/BN menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri Selangor. Kita tidak boleh masuk pilihan raya dengan pemikiran sebagai parti pembangkang. Kita perlu masuk pilihan raya dengan pemikiran parti kerajaan macam semasa kita bertanding PRN di Melaka dan Johor,” katanya ketika menjadi panel semasa Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja, di sini, semalam.

Menurut beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), itu turut yakin bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini akan diberikan kepada parti UMNO/BN.

“Dalam perjuangan kita untuk mencari dan mendapat kemenangan, kita mesti bermula dengan pemikiran yang positif. Kita boleh dan hari ini saya tengok ramai orang UMNO dari Bahagian Kota Raja. Bagi saya ini satu petanda yang baik. Saya yakin dalam perasaan saya, Insya-Allah kerusi DUN di sini akan turun kepada orang UMNO.

“Saya juga percaya pada kali ini kepimpinan parti akan mewujudkan landskap yang berlainan sebab di Melaka dan Johor kita banyak mewujudkan lanskap ‘luar daripada kotak’. Itu sebabnya bagi saya inilah peluang kita,” katanya lagi.

Disamping itu, Azalina turut menegaskan bahawa peranan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memberikan kestabilan kepada negara dan menjaga perkara 153 seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Kita tahu, jumlah UMNO/BN 30 itulah yang memberi jumlah 112 supaya kerajaan dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu. Itu peranan utama UMNO/BN. Kedua ialah menentukan, mengekalkan, menjaga hak orang Melayu mengikuti perlembagaan kita.

“Sebab isu Melayu, bangsa, agama dan raja-raja Melayu memang menjadi salah satu daripada perkara yang paling utama dalam persetujuan kita membentuk Kerajaan Madani. Kita tidak boleh lari sebab itu sama dengan perlembagaan UMNO.

“Maknanya, perjuangan kita ini sebagai ahli parti dalam perlembagaan UMNO sama dalam perlembagaan Malaysia. Apabila kita membentuk Kerajaan Perpaduan itu adalah ukuran pertama kita sebagai ahli parti. Memperjuang, mempertahan, memberikan perlindungan kepada isu pertama kita dalam perlembagaan iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau telah dijemput untuk menjadi panel pada Majlis Townhall UMNO Bahagian Kota Raja sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian Kota Raja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.