Presiden UMNO Ajak Rakyat Rai Awal Muharram, Hidupkan Semangat Perpaduan


KUALA LUMPUR, 18 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat untuk meraikan Awal Muharram ini dengan menghidupkan semangat perpaduan dan medan membangunkan komuniti yang harmoni.

Beliau turut mengajak rakyat untuk bersama-sama bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam untuk meletakkan diri sebagai insan muttaqin.

“Hari ini merupakan hari terakhir tahun 1444H. Maghrib ini kita akan melangkah masuk ke tahun baru 1445H.

“Bersempena kedatangan tahun baru ini ambillah ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut berharap Awal Muharram ini dirai sebagai momentum untuk menghidupkan semangat perpaduan dan medan membangunkan komuniti yang harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan bekerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara “baldatun toyyibah warabbun ghafur…” katanya lagi.

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit