Bawa Politik Matang, Jangan Kerana Mulut Badan Binasa – Azhari
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berharap pemimpin parti untuk bersikap matang dalam berpolitik bagi menjaga keharmonian rakyat di negara ini terutama mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Jelas beliau, ini kerana kenyataan kontroversi diucapkan tidak membawa manfaat kepada rakyat yang kini sudah bijak menilai fakta.
“Saya sudah mengingatkan kepada mereka yang sudi membaca posting saya baru-baru ini bahawa ambil tanggungjawab dalam penulisan atau ceramah kita dalam musim pilihan raya yang hangat ini.
“Kerana mulut, badan binasa. Janganlah begitu seronok mendapat sokongan dan sorakan atas keceluparan mulut kita. Kita tahu orang ramai sukakan hiburan dan kontroversi namun biarlah pengisian yang diberikan adalah berdasarkan fakta dan data.
“Saya terpanggil untuk mengulas perkara ini sebagai peringatan kepada diri saya juga, bukan sahaja untuk para pembaca. Kita bawalah politik matang, politik persahabatan dan setiakawan. Politik yang menyatukan,” katanya.
Respon diberikan beliau itu ekoran penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor awal pagi tadi mengikut Akta Hasutan.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa politik yang dinamik kepada ketika ini menuntut keterbukaan dalam kerjasama.
Menurut Azhari, ini kerana jumud politik seperti dendam kesumat tidak membawa faedah kepada masa depan parti.
“Sementara itu, kita perlu ingat bukan mudah sebenarnya untuk kita menelan perbalahan lama namun inilah politik yang sepatutnya kita amalkan. Jangan menyimpan dendam kesumat dan kebencian peribadi kerana suatu hari nanti, permusuhan politik boleh bertukar kepada persahabatan politik dan sebaliknya.
“Jumud politik akan membawa kepada kegagalan dalam berpolitik. Lihatlah apa berlaku kepada mantan Perdana Menteri kelapan. Akibat perasaan dendam kesumat, beliau tidak dapat dirikan kerajaan persekutuan bersama Barisan Nasional yang menjadi ‘kingmaker’ tujuh bulan yang lalu.
“Jangan campur adukkan permusuhan peribadi dengan permusuhan politik. Ini tips yang saya boleh berikan kepada anak-anak muda yang mahu bekerjaya dalam politik,” ujar beliau. – UMNO Online