Usaha Johor Kurangkan Kesesakan Di Tambak, Linkedua Jimat Dua Jam Masa Perjalanan

JOHOR BAHRU, 16 Julai – Usaha kerajaan Johor menyuraikan kesesakan di Tambak Johor di sini dan Linkedua di Iskandar Puteri berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya dua jam masa perjalanan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata pencapaian itu hasil gemblengan tenaga semua pihak yang menyaksikan pengoperasian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri semakin baik.

Katanya sebelum ini kesesakan yang berlaku menyebabkan perjalanan memasuki negeri ini mengambil masa empat jam.

“Berkat gemblengan tenaga daripada semua pihak, sedikit sebanyak kita telah berjaya membantu mengurangkan kesesakan dan masa perjalanan sekurang-kurangnya dua jam.

“Justeru, saya harap pada akhir tahun ini kita dapat jimatkan lagi masa sekurang-kurangnya satu jam,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Jenis C Tanjung Senibong di Pangsapuri Tanjung Senibong di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Onn Hafiz berkata perkembangan positif itu turut membantu dalam memacu ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pelancong.

Katanya sektor hartanah juga mendapat impak positif dan dijangka berkembang dalam masa satu atau dua tahun ini sekali gus membantu kerajaan negeri mengatasi isu lambakan hartanah tidak terjual.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri meletakkan sasaran baharu bagi membina 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2026 berbanding 21,702 unit yang disasarkan sebelum ini.

Menurut Onn Hafiz sasaran itu seiring dengan kemajuan dan kerjasama baik antara pemaju dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) serta pihak berkuasa tempatan selain faktor permintaan yang tinggi.

Katanya pembinaan rumah mampu milik itu diharapkan bukan sahaja tertumpu di Johor Bahru, malah daerah lain seperti Mersing, Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit