MB Kedah Persoal Kewibawaan Sultan Selangor: Kebebasan Bersuara Ada Hadnya Di Bawah Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kerajaan bertegas walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kebebasan ini tertakluk kepada Perkara 10(2) bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memberi respon demikian merujuk kepada tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di mana beliau telah dalam ceramah politiknya, mempersoalkan kewibawaan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

“Sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, kita harus sedar bahawa pertuturan kita ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama sekali dalam musim pilihan raya.

“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah-bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja-Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, dan tidak akan terselesai atas alasan memohon maaf kerana permohonan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang- undang (legal defence) dalam perundangan jenayah,” kata Ketua Penerangan UMNO itu lagi dalam satu kenyataan di Facebook.

Justeru, Azalina menyeru agar semua pihak menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberi kebebasan untuk menyiasat sesiapa sahaja yang membangkitkan isu 3R (kaum, agama dan raja) yang melanggar mana-mana undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.