Johor Pastikan Kebajikan Bella, Kanak-Kanak Terjamin
JOHOR BAHRU, 15 Julai – Kerajaan Negeri Johor akan memastikan kebajikan seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella dan semua kanak-kanak di negeri ini akan dijaga dengan sebaik mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata penghargaan diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) yang membawa remaja istimewa itu berpindah ke negeri ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) yang membawa adik Bella ke negeri ini dalam usaha menjaga kebajikannya,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya, semalam.
Dalam pada itu, isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda turut meluangkan masa melawat Bella yang dilihat sedang menyesuaikan diri di tempat dan persekitaran baharu, serta rakan-rakannya di sini semalam.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan perkara ini khususnya Khairin-Nisa serta JKMNJ. Allah Berkati Johor,” menurut hantaran dalam Facebook YAM Che’ Puan Besar Khaleeda yang turut berkongsi beberapa keping gambar lawatan itu.
Khairin-Nisa berkata Che’ Puan Besar Khaleeda amat menyayangi serta prihatin dengan golongan kanak-kanak dan OKU di negeri ini.
Pada Mei lepas, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali dijatuhkan hukuman penjara 22 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga remaja berkenaan mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang serius.- BERNAMA