CONNECTme NOW Bantu Tingkatkan Taraf Hidup Penduduk Luar Bandar – MB Pahang

KUALA LIPIS, 15 Julai – Perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi CONNECTme NOW yang disediakan oleh MEASAT Global Berhad (MEASAT) di Pos Sinderut, di sini dilihat dapat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkhidmatan berkenaan merupakan alternatif bagi membantu penduduk di kawasan tersebut yang sebelum ini ‘terputus hubungan’ dengan dunia luar.

“Ini merupakan antara usaha kita membantu mereka mendapatkan liputan Internet yang kini penting untuk kegunaan seharian. Pihak MEASAT telah beri percuma (percubaan) dua minggu dan perkhidmatan ini telah diberikan selama sembilan bulan yang telah berjalan dengan baik.

“Saya juga berharap perkhidmatan ini akan memanfaatkan anak-anak Orang Asli di sini untuk pembelajaran mereka, malah saya berhasrat untuk melihat projek rintis itu diperluaskan ke kampung lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan inisiatif KampungDigital365.com di Kampung Orang Asli Tual B, Pos Sinderut, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal.

Perkhidmatan CONNECTme NOW merupakan antara inisiatif di bawah KampungDigital365.com iaitu kerjasama antara MEASAT dan Parcel365 Sdn Berhad yang menyediakan perkhidmatan Internet serta latihan keusahawanan dan dijangka memanfaatkan 4,000 penduduk kawasan itu.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Tual B Yok Ek Cantan berkata dengan tersedianya kemudahan itu penduduk kampung tidak perlu lagi keluar untuk membuat panggilan atau melayari Internet.

Katanya ini kerana sebelum ini penduduk kampung tersebut terpaksa keluar kira-kira lima kilometer untuk mendapatkan liputan

“Terima kasih atas kemudahan yang disediakan…saya sendiri memang tidak ada telefon bimbit kerana kawasan ini memang tidak ada liputan, tapi selepas ada kemudahan ini saya cadang untuk beli telefon agar mudah membuat panggilan dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.