Belanjawan 2024: MoF Adakan Siri Libat Urus Fizikal, Dalam Talian

PUTRAJAYA, 14 Julai – Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan sesi libat urus Belanjawan 2024 secara fizikal dan dalam talian bagi mendapatkan input pelbagai pihak untuk pembentangan belanjawan itu, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selain siri libat urus yang akan diadakan sebagai susulan majlis libat urus yang berlangsung di MoF di sini hari ini, beliau berkata siri jelajah ke negeri-negeri juga akan diadakan bersama rakan sejawatannya Steven Sim Chee Keong bagi tujuan sama.

“Setiap cadangan yang diterima sama ada secara fizikal atau dalam talian akan diteliti oleh pelbagai pihak, dikumpul dan dikoordinasikan sebelum pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadual pada 13 Okt depan,” katanya dalam sidang media selepas sesi libat urus Belanjawan 2024 di MoF itu.

Libat urus bertemakan “Memperkasa Malaysia MADANI” itu antaranya dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sesi yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri oleh lebih 150 individu daripada pelbagai kementerian dan agensi serta pihak pemain industri antaranya Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom), Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahmad berkata orang ramai juga dialu-alukan memberikan pendapat dan input mengenai Belanjawan 2024 menerusi https://belanjawan.mof.gov.my/ms/. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.