Pelancaran Semula MIBC Dorong Hubungan Perniagaan Malaysia-Indonesia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Langkah mengaktifkan semula Majlis Perniagaan Malaysia Indonesia (MIBC) membuktikan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan perniagaan dua hala dengan Indonesia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kementerian menjangkakan kerjasama MIBC dengan Majlis Perniagaan Indonesia Malaysia (IMBC) untuk menyalurkan dan menyokong usaha dasar kedua-dua negara ke arah memupuk persekitaran yang meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan, membuka peluang kepada pertumbuhan dan kemakmuran sosioekonomi yang meluas dan mampan kepada Malaysia dan Indonesia.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) hari ini bersempena dengan pelancaran semula MIBC yang disaksikan beliau dan Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam.

Menurut NCCIM yang berperanan sebagai sekretariat MIBC, pengerusi baharu MIBC ialah Tan Sri Nazir Razak, manakala barisan baharu majlis ialah wakil-wakil daripada Permodalan Nasional Bhd, Maybank, CIMB, Kuala Lumpur Kepong, AirAsia dan TheLorry.com selain ahli-ahli individu.

Majlis berkenaan pada mulanya ditubuhkan pada 2002 menerusi memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia sebagai platform kepada sektor swasta di Malaysia untuk menangani dan menyelesaikan cabaran berkenaan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara, katanya.

Menurut kenyataan itu, MIBC komited untuk menyemai iklim perniagaan yang positif dan menyokong perniagaan sedia ada di samping menarik peluang ekonomi baharu antara Malaysia dan Indonesia.

Rakan MIBC di Indonesia adalah IMBC yang dipengerusikan oleh bekas Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia Eko Putro Sandjojo. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.