Hina Sultan Selangor: Sanusi Biadap, Mohon PDRM Ambil Tindakan Segera – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 13 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin beranggapan bahawa tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Sultan Selangor adalah biadap dan perlu diberikan pengajaran.

Susulan itu, beliau turut memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk campur tangan dan membuat tindakan dengan segera.

“Biadap dan kurang ajar. Mohon agar pihak polis campur tangan dan buat tindakan dengan kadar segera kerana beliau (Muhammad Sanusi) merendah-rendahkan institusi Diraja terutamanya Sultan Selangor.

“Terdahulu beliau juga merendah-rendahkan tindakan Yang di-Pertuan Agong yang telah bertitah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Keceluparan Muhammad Sanusi ini perlu diajar supaya tidak dijadikan amalan ahli-ahli politik yang lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini,” katanya kepada UMNO Online.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu dalam ceramahnya telah membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai ‘cokia’.

Menerusi video tular yang dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Muhammad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.