Penubuhan Majlis Hukuman Sedang Diteliti – Azalina

PUTRAJAYA, 11 Julai – Kajian bagi mewujudkan sebuah majlis hukuman untuk meneliti semua hukuman kesalahan jenayah termasuk berkaitan dadah dalam perundangan Malaysia sedang diteliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Majlis itu, menurut Azalina akan menyediakan garis panduan dan pengurangan hukuman penjara dan menggalakkan hukuman rehabilitasi dan hukuman restoratif dalam undang-undang jenayah Malaysia.

Azalina dalam satu kenyataan hari ini berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga sedang menilai kaedah untuk pindaan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.

“Ia bagi menggalakkan rehabilitasi berasaskan komuniti, dan bukan penjara bagi pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah terutama bagi pesalah kali pertama.

“Ini termasuk kesalahan dadah kecil yang menyumbang 63 peratus daripada banduan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini semalam bagi menangani isu penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Azalina berkata menangani isu kesesakan di penjara menjadi keutamaan hak asasi manusia bagi kerajaan memandangkan risiko yang dihadapi oleh banduan akibat keadaan penjara yang sesak.

“Saya berharap dapat membentangkan hasil usaha-usaha ini melalui kertas Kabinet secara bersama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persidangan Parlimen pada penghujung 2023,” katanya.

Azalina dalam pada itu berkata adalah penting bagi undang-undang dan agensi penguatkuasaan seiring dengan perkembangan semasa terutamanya berkaitan dengan kemajuan dalam pembuatan dadah sintetik yang canggih dan kaedah penyalahgunaan.

Menurutnya, undang-undang dadah sedia ada di Malaysia digubal pada tahun 1950-an.

“Pada ketika ini, budi bicara kehakiman adalah sangat penting dalam menangani penjenayah dadah berasingan daripada penagih dadah, dan bagi penagih dadah, perlakuan secara individu seperti sama ada individu tersebut adalah pengguna pertama, dan lain-lain perlu diambil kira.

“Budi bicara kehakiman juga penting dalam memperkenalkan pilihan rehabilitasi bukannya hukuman yang menekankan hukuman semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata memahami bahawa kebergantungan dadah juga adalah salah satu keadaan perubatan, kerajaan ingin menggunakan pendekatan terhadap kebergantungan kepada dadah secara ‘berhati-hati’.

“Kami berharap untuk melihat penekanan pada intervensi perubatan, rawatan, dan rehabilitasi dalam menangani isu kebergantungan dadah,” katanya mengenai mesyuarat JKMD itu.

Ahmad Zahid dalam kenyataan sempena mesyuarat JKMD itu berkata KDN dan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit