Komunikasi Yang Berkesan Penting Dalam Penyampaian Maklumat, Fakta – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komunikasi yang berkesan amat penting dalam menyampaikan maklumat.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, ini supaya rakyat dapat maklumat yang tepat dan berasaskan fakta yang sebenar dalam sesuatu isu.

“Sekarang ini zaman komunikasi secara dalam talian, tetapi komunikasi bersemuka juga diperlukan. Keberkesanan komunikasi yang terbaik ialah melalui kombinasi secara bersemuka dan tidak bersemuka (secara dalam talian).

“Apa yang mahu ditekankan ialah komunikasi yang berkesan. Begitu juga mesti tahu khalayak yang hadir agar dapat menarik minat mereka untuk mendengar dan memahami maklumat yang disampaikan,” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid berkata demikian di Majlis Pentauliahan Penceramah Penerangan di Auditorium Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Komunikasi UMNO Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berharap agar penceramah parti dapat memanfaatkan maklumat dan platform yang diberikan dengan sebaiknya di samping memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat serta akar umbi mengenai isu-isu semasa. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.