Jalan Baharu Solok Ayer Limau-Kampung Jeram Beri Manfaat Kepada Melaka, N. Sembilan
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek membabitkan peruntukan kira-kira RM36 juta oleh Kementerian Kerja Raya itu melibatkan kos pembangunan jalan dan pengambilan tanah, mula dilaksanakan sejak Februari tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Bagi pengambilan tanah untuk projek ini, ia juga tidak melibatkan pengambilan mana-mana kawasan penempatan penduduk di kampung atau taman perumahan dan hanya melibatkan kawasan tanaman getah dan kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak projek jalan itu di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Ab Rauf berkata dengan pembinaan projek tersebut ia akan melancarkan penyuraian trafik bagi pengguna yang menuju ke Pekan Masjid Tanah dan mereka yang berulang alik dari Port Dickson melalui pekan Kuala Sungai Baru serta laluan ke pekan Alor Gajah.
Beliau berkata jalan baharu yang dibina itu juga akan menjimatkan masa kira-kira 15 minit berbanding melalui jalan sedia ada ketika ini, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di Pekan Masjid Tanah terutama pada waktu puncak.
“Menerusi projek ini ia dilihat akan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat di samping kita jangka dengan adanya jalan baharu ini ia berpotensi untuk pihak pemaju mengambil peluang untuk mewujudkan taman-taman perumahan baharu,” katanya.
Katanya selain itu, dua lagi jalan pintas baharu sedang dalam pembinaan di negeri ini iaitu membabitkan laluan Ulu Jasin ke Rim dan Serkam ke Bemban. – BERNAMA