Internet Pantas Di Kawasan FELDA Bantu Peneroka Pasar Produk

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Perkhidmatan internet pantas atau capaian rangkaian 5G di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan membantu peneroka memasarkan produk mereka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata dengan perkhidmatan internet pantas dapat meningkatkan ekonomi digital seperti membantu peneroka memasarkan produk dalam dan luar negara serta turut terlibat dalam e-dagang.

“Internet merupakan perkara yang sangat penting. Kalau kita hendak memajukan FELDA pada masa akan datang, internet itu harus kuat (pantas),” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Transformasi FELDA Memakmurkan Peneroka’ terbitan Bernama TV, malam ini

Bagi tujuan itu, beliau turut melakukan lawatan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis lalu bagi membawa agenda mentransformasi FELDA.

“Saya nak beritahu mesejnya ialah saya tidak mulakan dengan lawatan ke ladang kelapa sawit atau ladang getah dan sebagainya, walaupun lawatan seperti itu merupakan sebati dengan masyarakat peneroka, tetapi masa depan bagi FELDA ialah internet serta ia khusus untuk anak-anak FELDA generasi 5.0,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MCMC komited untuk memperbaiki perkhidmatan Internet di kawasan FELDA bagi memastikan kesalinghubungan digital di kawasan berkenaan ditingkatkan.

Bagi menjadikan sektor perladangan lebih efisien, Ahmad Shabery berkata kekuatan internet juga akan menyumbang kepada kegunaan teknologi baharu.

“Suatu masa nanti setiap pokok ada sensor dan peneroka dapat mengetahui berapa banyak tan yang boleh diproses dalam ‘masa nyata’. Ini yang kita dapat fikirkan untuk pasaran masa depan negara,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.