UMNO Parti Berstruktur, Tiada Masalah Susun Jentera Parti – Jeffery

SEMPORNA, 10 Julai – UMNO Sabah tidak akan menghadapi masalah yang besar untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh terdekat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, walaupun jangkaan PRN Sabah akan berlaku kurang dalam tempoh dua tahun dari sekarang namun beliau mengingatkan semua bahagian-bahagian UMNO di negeri ini bersedia lebih awal dari sekarang menyusun jentera dan gerak kerja yang konsisten.

“Saya katakan tidak bermasalah bagi UMNO kerana kita merupakan sebuah organisasi politik yang berstruktur dari peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan malah ia hanya perlu digerakkan dan diaktifkan bukan setakat untuk berhadapan dengan pilihan raya tapi kita perlu sentiasa mengemaskinikan jentera yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi taklimat libat urus Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah bagi zon enam yang melibatkan UMNO bahagian Semporna, Kalabakan dan Tawau baru-baru ini.

Hadir sama Ketua UMNO bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan; Ketua UMNO bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop; Ketua UMNO bahagian Tawau, Ghazalie Ansing dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sabri.

Menurut Jeffrey yang juga Ketua UMNO bahagian Putatan, dalam keadaan apa pun UMNO Sabah perlu bersedia lebih awal lagi kerana cabaran pada PRN akan datang akan lebih besar ekoran beberapa kenyataan dari beberapa Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) termasuk Presidennya Datuk Seri Hajiji Noor yang sudah bersedia merampas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen milik UMNO Sabah ketika ini.

“Ini merupakan satu cabaran, UMNO Sabah perlu menyahut cabaran ini kerana kenyataan yang sudah dikeluarkan oleh beberapa pemimpin PGRS ini membuktikan terlalu amat sukar bagi kita membentuk kerjasama antara PGRS dan UMNO/Barisan Nasional (BN); melainkan kepada parti-parti lain yang ikhlas bekerja sama dengan kita,” jelas Jeffrey.

Sehubungan itu, menurut Jeffery jika UMNO Sabah mengimpikan kemenangan bermula dari detik ini, pemimpin UMNO di semua peringkat perlu berkerja dalam satu pasukan yang meletakkan kemenangan sebagai sasaran utama dalam pilihan raya akan datang.

“Jentera sudah bersedia dengan gerak kerja mendekati akar umbi diaktifkan setiap waktu,” katanya.

Dalam hal yang sama Jeffery juga mengajak semua kepimpinan UMNO di semua bahagian agar melupakan pergeseran semasa dalam parti demi masa depan UMNO.

“Kita suburkan proses demokrasi dalam UMNO, pertandingan bagi memilih kepimpinan bahagian proses biasa, sememangnya dalam pertandingan ada kalah dan ada yang menang.

“Yang penting selepas pemilihan kita kembali bersatu, ini kerana UMNO adalah parti kita, perjuangan kita demi bangsa, agama dan negara, perjuangan seharusnya diteruskan bersama parti keramat yang banyak berjasa kepada negara,” jelas Jeffrey lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit