Muhyiddin Hanya ‘Sembang’ … Felda Tidak Terima Bayaran Seperti Dijanjikan – Shabery
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menempelak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pembayaran hutang Felda.
Menyifatkan sebagai hanya ‘sembang’ beliau berkata Muhyiddin tidak melaksanakannya termasuk tiada perjanjian secara bertulis dilakukan ketika pentadbiran kerajaan ketika itu bagi menyatakan komitmen untuk membantu Felda.
“Sebelum ini sembang sahaja tidak terima bayaran pun. Sebenarnya kenyataan Muhyiddin itu adalah cerita tidak habis, betul tahun 2021 diumumkan hutang peneroka kepada Felda dilupuskan namun Felda terbeban.
“Tapi sampai waktunya duit itu tidak sampai, kita semak tidak ada perjanjian hitam putih antara Felda dan kerajaan mungkin diluluskan tetapi jaminan itu mesti ada bahawa kerajaan akan bayar.
“Pada waktu itu dia kata kerajaan akan beri jaminan tapi disebabkan tidak ada perjanjian jadinya tidak ada sebarang pembayaran dibuat sedangkan pembayaran sepatutnya dibuat RM1 bilion setahun untuk 10 tahun,” katanya pada siaran langsung di Facebook baru-baru ini.
Jelas Ahmad Shabery perkara besar berlaku selepas itu ialah Felda mengambil alih FGV dengan membeli saham-saham yang memerlukan dana sebanyak RM9.9 bilion.
“Macam mana hendak dapatkannya, iaitu pinjam dari sukuk yang asasnya dua sahaja iaitu KWSP dan Maybank.
“Jadi macam mana Felda hendak bayar sukuk ni? Sudah dapat saham tujuannya hendak miliki sepenuhnya FGV tapi sampai sekarang baru dapat 80 peratus.
“Nak bayar ini memerlukan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun, Felda berdasarkan daripada pendapatannya sama ada torehan, ladang tidak akan mampu bayar,” ujar beliau.
Bagaimanapun beliau meluahkan penghargaan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim yang menandatangani perjanjian membabitkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut.
“Alhamdulillah Perdana Menteri selesaikan dahulu dengan membuat perjanjian dan membolehkan kerajaan membayar kepada Felda RM1 bilion setahun untuk bayar sukuk.
“Bayangkan Felda dengan hasilnya hendak bayar RM1 bilion dengan keperluan bayar kakitangan, keperluan peneroka, hendak selesaikan hal-hal yang nampak kecil sedangkan ianya banyak,” katanya.
Terdahulu, bermula tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lainnya membiayai hapus kira hutang peneroka.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan 28 Jun lalu, memaklumkan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, menandatangani perjanjian membabitkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar membabitkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion. – UMNO Online