KDN, AADK Diberi Tempoh Tiga Bulan Koordinasi Usaha Bendung Masalah Dadah

PUTRAJAYA, 10 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha bagi merangka inisiatif atau program efektif untuk membendung masalah dadah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata beberapa agensi berkaitan juga perlu berganding bahu merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif agar gejala dadah dibendung dengan lebih berkesan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 di sini hari ini, Ahmad Zahid melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah kerana statistik anggaran penagih dadah adalah sebanyak 1,097,408 orang ketika ini.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 1,051,712 penagih merupakan lelaki dan 45,696 pula wanita, manakala 328,640 daripadanya ialah mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

“Dapatan satu kajian oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2020 menunjukkan bahawa bagi setiap 100 belia di negara ini, enam orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini akan melihat pencetus perubahan untuk isu dadah itu dan diselaraskan dengan semua kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju untuk memastikan pemerkasaan undang-undang diperkukuh bagi mencegah penyalahgunaan dadah di semua peringkat.

“Keberkesanan tentang penguatkuasaan undang-undang di dalam negara juga akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas.

“Keberkesanan atau kejayaan dikaji bukan terhadap jumlah yang dipulihkan tetapi kepada jumlah tangkapan atau pengurangan jumlah penagih di dalam negara secara keseluruhannya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.