Jalan Pintasan Durian Tunggal Kurangkan Kesesakan Hingga 60 Peratus

ALOR GAJAH, 10 Julai – Jalan pintasan dari persimpangan Alor Gajah Lama ke Taman Murai Jaya di Durian Tunggal dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik hingga 60 peratus, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata jalan sepanjang 240 meter berserta sebuah jambatan itu dibina dengan kos berjumlah RM8.64 juta bermula pada 7 Julai 2020 dan siap pada hari ini dengan menggunakan peruntukan daripada kerajaan Melaka.

“Tempoh masa pemanduan juga dapat dipendekkan dari 10 minit kepada tiga minit bagi trafik dari Durian Tunggal menghala ke Ayer Keroh.

“Projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh 10 hari lebih awal dari tarikh asal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jalan pintasan berkenaan hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Melaka sedang melaksanakan kajian di titik-titik kesesakan membabitkan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (Lebuh SPA) bagi menyuraikan trafik.

Katanya antara cadangan yang akan dilaksanakan di kawasan titik kesesakan termasuklah ‘no right turn’ terutama ketika waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

Sementara itu, Nanta berkata beliau menerima beberapa permohonan daripada kerajaan negeri untuk mengindahkan negeri dan jalan raya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Tahun depan Tahun Melawat Melaka 2024, justeru perancangan perlu dibuat dari sekarang. Saya ada terima senarai dan akan teliti (senarai tersebut) dan kita akan hulur bantuan,” katanya tanpa memperincikan jenis bantuan yang dimohon kerajaan negeri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.