Sentuh Isu 3R, Muhamad Akmal Gesa PDRM Lakukan Siasatan

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kenyataan Pengerusi Dap, Lim Guan Eng yang memainkan isu 3R iaitu ‘religion, race and royal’.

Memberi respons kepada keratan akhbar sebuah portal, Muhamad Akmal menegaskan bahawa isu 3R ini tidak sepatutnya dimainkan oleh pihak pembangkang mahupun kerajaan.

“Bila kita minta jangan mainkan isu 3R iaitu ‘religion, race, royal’, bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan

“Maka tuduhan seperti ini sangat-sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mahukan politik yang progresif dan matang. Kita berbahas dengan idea bukan melalui sentimen yang memecahkan sesama kita,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, Sabtu.

Jelasnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menindas agama lain dan ianya tidak boleh disangkal lagi.

“Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta!

“Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis supaya kita memberi amaran yang keras. Jangan sesekali mempermainkan isu 3R tidak kira dari parti mana mereka datang,” katanya lagi.

Pada Sabtu, media melaporkan bahawa Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu, sambil mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.