PRN: PN Jangan Cuba Hendak ‘Kelantankan’ Selangor – Ahmad Shabery

BANGI, 9 Julai – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi amaran kepada Perikatan Nasional (PN) agar tidak bercita-cita untuk ‘Kelantankan’ Selangor.

Ini kerana katanya, gabungan BN-Pakatan Harapan (PH) di negeri itu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah untuk memastikan Selangor menjadi kubu terkuat Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya pada malam ini bersejarah kalau dapat lihat himpunan sebegini hebat dan padat dengan tekad untuk memastikan Selangor menjadi kubu terkuat kerajaan Perpaduan dalam negara kita.

“Saya percaya, PRN kali ini adalah pilihan raya yang signifikan. Kalau ada orang cuba-cuba katakan PRN kali ini boleh gugat Kerajaan Perpaduan, datanglah kemari dan mereka boleh pengsan tengok kehadiran begitu ramai.

“Dulu kita bercakap bagaimana untuk bangunkan Selangor. Dulu kita cakap kita ada sejarah sendiri. BN ada peranannya memajukan Negeri Selangor. PH juga telah tunjukkan kemampuan yang hebat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, PN pada PRN kali ini membawa tekad kononnya untuk mengubah dan memajukan Selangor dengan lebih hebat.

“Kali ini ada parti lain yg bernama PN, kombinasi PPBM dan Pas menyatakan bahawa mereka nak ubah serta majukan selangor dengan lebih hebat. Saya cakap pada mereka mudah sahaja.

“Saya orang Terengganu berjiran dengan Kelantan dan kedua-dua negeri itu ditadbir Pas. Jangan sama sekali bercita-cita untuk ‘mengkelantankan’ Selangor.

“Bahaya. Usaha mereka mahu ‘mengkelantankan’ semua negeri. Tengoklah Kelantan, masalah air pun tidak selesai, ada hati nak majukan Selangor,” katanya lagi.

Beliau turut membawa tekad untuk merampas ketiga-tiga negeri di bawah pentadbiran PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Mari kita bersama untuk menyuapkan semangat Selangor, beritahu rakan-rakan di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Kalau nak maju, lupakan PN.

“Mari kita ‘selangorkan’ tiga negeri tersebut. Orang kelantan tinggalkan tempat mereka, datang ke Selangor. Bagaimana mereka mahu bawa perubahan.

“Jangan mimpi untuk bercakap bahawa kamu lebih baik daripada apa yg ada di Selangor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa Kerajaan Perpaduan akan menjadi contoh kerajaan di negara ini dan turut berharap kestabilan ini dapat dikekalkan.

“Dengan kesepakatan rakan-rakan BN-PH, insya-Allah Kerajaan Perpaduan akan menjadi contoh kerajaan terbaik. Cukuplah kalau kita cuba goncang kerajaan yang ada sebelum ini. Cukup-cukuplah kita tukar perdana menteri.

“Kita mahu kekalkan kerajaan ini bagi menjamin kestabilan. Insya-Allah Selangor akan tetap jadi kubu terkuat Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.