Kerajaan Perpaduan Penting Untuk Kestabilan… Tolak Pengkhianat – Megat Zulkarnain

BANGI, 9 Julai – Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) amat penting untuk memastikan negara kembali stabil dan kembali ke landasannya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, dalam perjuangan tiada tempat untuk seorang pengkhianat yang pernah menghancurkan negara ini.

“Dalam perjuangan istilah pengkhianat tidak ada tempat pada mereka. Pengkhianat ini yang pernah menghancurkan negara kita. Kepada pengkhianat yang pernah berada dalam PH tunggu masanya.

“Kepada pengkhianat yang pernah hidup mewah, mendapat nikmat daripada BN di Selangor pun tunggulah masa dan ketikanya. Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) telah dibuka,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi BN Selangor itu turut memaklumkan bahawa beliau akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri untuk berkempen dan memberi penjelasan kepada beberapa isu.

“Saya sebelum ini mengambil pendirian untuk tidak memberi komen sehinggakan ramai pihak media meminta saya memberi komen mengenai Tan Sri Noh Omar.

Tonight i will declare, Megat will round Selangor. Akan saya jelaskan satu persatu. Noh Omar cakap, BN Selangor gagal, akan menjadi penunggang dan penumpang.

“…yang gagal bukan zaman saya, yang gagal bukan waktu saya memimpin. Tetapi yang gagal waktu dia memimpin BN di Selangor. Saya tahu apa strategi Noh Omar. Strateginya adalah untuk mengalih undi UMNO kepada Perikatan Nasional. Ingat, orang UMNO/BN tidak bodoh dengan sentimen yang dimainkan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru para pengundi untuk tidak memberikan tempat kepada pengkhianat yang pernah menghancurkan negara kembali memerintah.

“Presiden UMNO telah nyatakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Kerajaan Perpaduan ini penting untuk negara ini berasa dalam keadaan stabil.

“Negara ini mesti kembali kepada landasannya. Jangan kita benarkan mereka yang pernah menghancurkan negara untuk memerintah. Ada batasan-batasan tertentunya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam PH yang tidak pernah bercakap soal yang mengganggu-gugat pentadbiran iaitu Islam dan Melayu dalam negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tiada istilah boikot-memboikot antara satu sama lain dalam menempuhi PRN kali ini.

“Kita mesti pastikan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Kerajaan Perpaduan ini akan kita pertahankan pada 12 Ogos nanti.

“Tidak akan berlaku istilah boikot-memboikot antara satu sama lain. Mana kerusi yang ditandingi PH, turun untuk bantu mereka menang… dan sebaliknya saya yakin akan berlaku perkara yang sama.

“Apa yang penting pada 12 Ogos Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor akan terbentuk. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.