UMNO Bahagian Shah Alam Berjiwa Besar Tidak Tuntut Kerusi DUN

SHAH ALAM, 8 Julai – UMNO Bahagian Shah Alam berjiwa besar menerima keputusan pucuk pimpinan parti untuk tidak menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, keputusan tersebut dibuat atas semangat Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional.

“Kita di Shah Alam dengan berjiwa besar menerima keputusan parti untuk memberi laluan kepada calon PH bertanding di kedua kerusi tersebut.

“Kita akan membantu kempen calon di dua DUN tersebut dan akan memastikan kerusi tersebut dimenangi calon Kerajaan Perpaduan BN-PH yang kini menjadi kerajaan di peringkat persekutuan,”katanya.

Mengulas mengenai sesi penerangan tersebut Azhari berkata, Lokman menitipkan pesanan supaya pihak UMNO Bahagian Shah Alam terus berkempen menarik sokongan ahli UMNO untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan PH-BN.

“Sebelum ini kita pernah bekerjasama dengan parti yang kini menjadi lawan kita (Pas) untuk beberapa pilihanraya kecil selepas Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) dan kita mampu menang beberapa kerusi.

“Kini kita bergabung dengan PH untuk PRN. Saya yakin ahli UMNO di Shah Alam dan di luar parlimen ini bersikap inklusif dengan perjuangan parti dan akan memenangkan kawan yang sealiran dengannya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa yang diterajui Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam di Bangunan UMNO Bahagian Shah Alam malam tadi.

Terdahulu media melaporkan semalam,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.