PRN: UMNO/BN Selangor Bakal Kemuka Calon Muka Baharu

BANGI, 7 Julai – UMNO/Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan calon-calon muka baharu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera UMNO/BN akan mencuba sedaya upaya untuk membantu Kerajaan Perpaduan terus kekal di negeri itu.

“Kita mahu mengekalkan Selangor di bawah Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah jentera UMNO/BN akan membantu dengan sedaya upaya.

“29 Julai ini kita (BN) akan mengemukakan calon-calon kita dan Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan calon-calon kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Selangor, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor akan dapat dibentuk dan UMNO/BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Terima kasih kepada PH kerana terus memberi peluang kepada BN untuk menjadi calon di beberapa kerusi.

“Dengan tidak berhajat untuk mendahului hukum Allah, kalau kita bentuk kerajaan di Selangor ini, saya yakin UMNO/BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu ini.

Jelas Ahmad Zahid, sekiranya Kerajaan Perpaduan dapat mengambil alih Kelantan, mereka akan membantu memajukan negeri itu.

“Kita mahu melihat bahawa bukan sahaja Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tetapi kita yakin jika inilah manifestasi diperlihatkan, di Kedah, Terengganu dan Kelantan rakyat mahukan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita berjaya ambil alih Kelantan, kita akan majukan Kelantan. Apa yang penting pada 12 Ogos ini kita akan membuktikan bahawa manifesto kita tawarkan kepada keenam-enam negeri ini akan dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghormati keputusan MCA dan MIC yang tidak mahu bertanding sebarang kerusi pada PRN ini.

“Untuk BN, Insya-Allah calon-calon muka baharu kita akan kemukakan bagi menandakan semangat baharu parti.

“Walaupun rakan-rakan MCA dan MIC telah membuat keputusan untuk tidak mengemukakan mana-mana calon. Saya menghormati bahawa mereka akan tetap bersama BN dan mendukung semua calon2 Kerajaan Perpaduan di enam negeri.

“Kepada seluruh jentera parti, ayuh kita lupakan perbedaan kita selama ini. Apa yang lebih penting ialah titik persamaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.