Dakwaan Abdul Hadi Fitnah Besar, Islam Tidak Akan Terancam Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Perpaduan

BANGI, 8 Julai – Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Malaysia akan menjadi negara sekular apabila ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah fitnah yang besar.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Perikatan Nasional (PN) hanya cuba untuk menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen yang sengaja dimainkan.

“Ada juga yang cemburu, dia takut-takutkan kita dan mengatakan kalau UMNO/Barisan Nasional (BN) duduk dengan Pakatan Harapan (PH), dalam tu ada Dap. Mereka cakap, kalau bersama PH dan Dap, Islam terancam.

“Minggu lepas saya membaca Facebook Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Beliau mengatakan Malaysia akan berubah wajah. Perlembagaan Malaysia akan menjadi sekular. Perlembagaan ini akan membuang Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Ini suatu fitnah yang paling besar. Tuan-tuan dan puan-puan kena ingat, nak pinda perlembagaan kena ada dua pertiga. Dia kata Dap akan pinda perlembagaan sedangkan mereka ini hanya ada 40 kerusi sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis Pelancaran Jentera Perpaduan di sini, semalam.

Jelasnya, Perikatan Nasional hanya tahu menabur fitnah sedangkan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mewakili wajah Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Kerajaan Perpaduan hari ini ada 148 kerusi iaitu dua pertiga. Ada 19 buah parti politik yang mewakili wajah Malaysia. Bukan saja Dap.

“Beza antara Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan ialah mereka hanya tahu memfitnah tetapi Kerajaan Perpaduan hari ini mewakili wajah sebenar Malaysia yang meliputi pelbagai kaum dan agama.

“Kita tidak pernah cuba untuk meragut akar Malaysia ini. Akarnya Islam, tidak pernah kita sentuh. Semalam Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke sebut Dap tidak akan pernah sesekali menyentuh soal Islam agama persekutuan dan tidak akan pernah sesekali cuba untuk mengubahnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menyeru kepada semua jentera untuk bekerja keras bagi memastikan para pemfitnah ini tidak bertapak di bumi Selangor.

“Biar mereka tahu bahawa hari ini Kerajaan Perpaduan Malaysia, akarnya Islam dan Melayu bumiputera. Tetapi dalam wajah Malaysia yang berbagai kaum dan agama.

“Sebab itu kita kena pastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini kita perlu buang pemfitnah-pemfitnah ini. Jangan biarkan mereka bertapak di bumi Selangor.

“Kita akan pastikan Kerajaan Perpaduan inilah masa depan Malaysia akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit