‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, Laporan Tidak Berasaskan Fakta – Fadzli

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Exco Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata laporan berita dalam Sinar Harian semalam yang bertajuk ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam masyarakat.

Sedangkan tegas beliau keputusan mahkamah semalam hanyalah berhubung permohonan interlokutori pihak Royal Pahang Durian dan perjalanan berhubung soal berkenaan masih jauh dan perlu melalui proses seterusnya.

“Terbit pelbagai persepsi dan naratif hingga ramai netizen beranggapan bahawa pihak pekebun telah menang dalam perbicaraan di mahkamah berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan kebenaran permohonan semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang.

“Padahal, sepertimana yang saya katakan tadi, keputusan itu hanya berkaitan permohonan interlokutori pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (pekebun haram) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Hakikatnya, tambah beliau lagi keputusan tersebut tiada kena-mengena dengan permohonan semakan kehakiman, yang mana tarikhnya belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Kerajaan Negeri Pahang sangat terbuka dalam menerima pandangan semua pihak, namun dalam masa yang sama  mengharapkan laporan berita yang mendapat perhatian umum perlulah berasaskan fakta dan tidak bersifat menimbulkan provokasi serta salah faham,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.